Wednesday, 24 April 2013

Pada Saat Kita Berkata...




me & my PAKK friend :)


Adakah anda tahu sahabat anda sentiasa bersangka baik dengan anda? Tahukah anda pada saat anda mengata sahabat anda itu dan ini, sahabat anda pula memuji anda?

Pada saat kita mengatakan teman sebilik kita seorang yang "tidak pembersih", sahabat kita mengatakan yang kita ini seorang yang rajin belajar, taat kepada perintah ibu bapa dan menjaga hubungan dengan Allah. Tidak pernah sekali pun dia mengatakan perkara yang tak baik tentang kita. Tak pernah sekali dia membuka aib kita kepada orang lain.


Pada saat kita mengatakan 'mood' untuk belajar hilang sebab rakan kita pinjam buku kepunyaan kita, kita lupa yang sahabat kita pernah keluarkan duitnya untuk belanja kita makan waktu poket kita kosong tidak berduit dulu... Pada saat itu kita lupa jasa baik dia kepada kita.

Pada saat kita berkata di Facebook, "Hari ini aku sakit hati dengan sahabat aku kerana dia menyorokkan barang aku (kononnya) untuk suka-suka", sahabat kita pula memberitahu orang lain bahawa kita adalah orang yang sangat hebat, kuat pendirian agama dan mempunyai kepimpinan yang menyerlah.

Pada saat kita mengatakan yang kawan kita tak pernah bangun lebih awal daripada kita justeru dia selalu menyusahkan kita kerana kita terpaksa mengejutkan dia setiap pagi, kita lupa sahabat kita tak pernah beritahu orang lain yang kita pernah mengambil hak dia tanpa pengetahuannya. Kita pernah pinjam wang dia tapi lupa untuk memulangkannya semula. Sahabat kita tak pernah mengungkit hal itu.

Pada saat kita mengatakan sahabat kita tak pernah gosok baju sebelum ke kuliah, malas mandi dan kuat tidur, kita lupa yang sahabat kita pernah bekalkan ubat waktu kita demam teruk dulu dan bersengkang mata semalaman menjaga kita. 

Pada saat kita mengatakan yang rakan kita seorang yang pelik, suka berpura-pura dan busuk hati, rakan kita sedang sibuk menguruskan kenduri doa selamat untuk menyambut hari lahir kita. Rakan kita sanggup mengeluarkan wang belanjanya sendiri untuk memastikan hari istimewa kita itu berjalan dengan lancar supaya kita gembira.

~~~~


Sahabat sekalian, ini peringatan untuk diri saya sendiri. Selemah-lemah ukhuwah adalah bersangka baik, maka tentera syaitan cuba untuk mereka-reka punca pergaduhan dengan menggalakkan bersangka buruk. Perbanyakkanlah doa supaya dijauhkan daripada hasutan syaitan, insya-Allah...

Allah SWT berfirman:


"Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani. "
(Surah al-Hujuraat, ayat 12)


Dengan mengikut suruhan Allah untuk berbaik sangka, hidup kita akan lebih bahagia, insya-Allah. Percayalah kepada Allah yang Maha Mengetahui, Maha Berkuasa, Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Apabila keliru dan mempunyai masalah dalam kehidupan, rujuklah panduan hidup yang telah diberikan oleh Allah kepada kita iaitu Al-Qur'an dan As-Sunnah :)

Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-hambaNya.


"...boleh jadi kamu membenci sesuatu sedangkan ia baik untukmu dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu sedangkan ia buruk untukmu. Allah mengetahui sedangkan kamu tidak tahu."
(Surah al-Baqarah, ayat 216)


copy from ILuvIslam website.



No comments:

Post a Comment